Saturday, May 27, 2017

Kita Sesudah Semalam. (Prolog)

Pelik atau tidak jika kita menghadiri majlis kenduri atau majlis keraian secara berseorangan? Mesti kita akan jadi kekok untuk melakukan semua perkara. Kadang-kadang nak berjalan pun tak betul, akibat gugup. Mana tidaknya, dalam ramai-ramai orang yang hadir, kita cuma mengenali satu orang saja, iaitu tuan rumah. Dan tuan rumah pula mestilah sibuk melayan semua tetamu, takkanlah mahu melayan kita seorang saja, kan? Urgh, teruknya perasaan macam ni. Kawan-kawan pula jenis pandai cakap saja. Susah senang bersamalah, apalah. Akhirnya bila kita minta tolong, masing-masing menghilangkan diri. Urgh! Suhaid cuma mampu menggeleng mengenangkan nasib dirinya.

* * * * *

Biar betul ni. Kenapa meja sebesar ni, yang boleh diduduki oleh lapan orang manusia, diduduki oleh aku seorang saja? Syuhada menoleh ke kiri, ke kanan, ke belakang. Ke depan? Tak payah toleh ke depan! Di depan sana pengantin lelaki sedang tersenyum lebar bersanding dengan pengantin perempuan yang tak kalah lebar senyumnya. Raja seharilah katakan. Apalah nasib badan. Sudahlah tak ada kawan yang sudi meneman, kemudian apabila ada di sini, duduk seorang diri di meja yang besar ni pula. Dia teringat Sakinah kawannya ketika belajar di Universiti Malaya dulu. Kata Sakinah, takdir memang kadang-kala kejam untuk manusia. Urgh!

* * * * *

Suhaid nampak sebuah meja yang cuma diduduki oleh seorang gadis. Huh? Meja punya besar dia duduk seorang saja? Tak apalah, bagus juga duduk di meja yang tak ramai orang. Tak adalah orang perasan riak wajahnya yang kecewa atau apa. Dia boleh tumpukan pada makan saja tanpa fikir orang sekeliling. Tapi dia bukannya berselera sangat pun untuk makan. Mana tidaknya, makan di majlis kenduri kahwin bekas kekasih!

* * * * *

Syuhada mencucuk-cucuk daging di atas pinggan makannya dengan garfu. Dia sudah lama kenyang namun nasi minyak dan lauk yang diambilnya masih lagi berbaki. Ah, tapi kalau nak diikutkan dia bukannya nak makan sangat pun. Tak tahu kenapa dia berani datang ke majlis ni hari ni. Memanglah dia dijemput. Tapi boleh saja kalau dia tak mahu datang, kan? Tengok, sekarang hatinya sendiri yang sakit. Syuhada menoleh ke sebelah kanan setelah mendengar ada suara berdehem. Baru dia perasan ada orang lain duduk semeja dengannya. Seorang lelaki, setepatnya. Dia melihat lelaki itu sedang memerhatikan dia mencucuk-cucuk daging di atas pinggan makannya. Apa, tak pernah tengok orang cucuk daging dengan garfu ke? Cucuk mata tu nanti baru tahu!

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.