Monday, May 29, 2017

Kita Sesudah Semalam. (Bab 1 - Catatan Suhaid)

Hidup ini penuh dengan kebetulan yang tidak terduga. Seperti layang-layang yang tiba-tiba putus talinya lalu terlepas daripada genggaman kita saat kita seronok mengemudi layang-layang itu, atau kebetulan seperti talian internet yang tiba-tiba terpadam saat kita seronok menonton video dalam laman sesawang Youtube, juga kebetulan seperti bertemu dengan sesuatu yang kita tidak sangka, yang sedikit sebanyak bakal mengubah hidup kita. Dalam agama Islam, tiada perkara yang berlaku atas nama kebetulan. Kebetulan itu semuanya ialah ketentuan, sesuatu yang telah Allah aturkan buat kita.

Memang menakutkan jika kita mendapat tahu atau berhadapan dengan perkara yang selama ini kita sangka tak akan terjadi, yang selama ini kita sangka betul. Kita akan jadi takut untuk menerima perkara yang berbeza, kerana kita telah selesa dengan tanggapan dan rutin yang kita lakukan.

Ketentuan hadir dan akan mencabar keselesaan kita. Mengajak dan mengajar kita untuk meninggalkan apa yang selama ini kita yakin dan percaya, kepada sesuatu yang baru, yang lebih baik. Sebagai contoh, seperti layang-layang yang saya nyatakan pada awal monolog saya ini sebentar tadi. Selama ini kita selesa menggunakan benang biasa ketika bermain layang-layang. Lalu pada suatu hari, benang yang mengikat layang-layang itu terputus. Maka kita harus mengubah pemikiran dan rutin kita. Bahawa akan ada angin yang lebih kuat yang bakal mencabar kekuatan benang kita. Maka keesokannya kita pun menggunakan tali lain yang lebih kuat untuk digunakan pada layang-layang kita.

Lebih cepat kita menerima apa yang telah ditentukan, lebih cepat kita akan sedar tentang langkah kita yang sebenarnya, lebih cepat kita bakal nampak ke mana arah hala tuju diri kita. Tapi bukan semudah itu untuk menerima ketentuan. Minda kita akan banyak bertanya dan mempersoal, akan banyak menafikan dan melawan. Sehingga pada akhirnya kita menyerah dan menerima bahawa adalah lebih baik berhenti dari mencampuri urusan takdir, dan redha dengan kebetulan juga ketentuan yang berlaku.

Menyerah kepada ketentuan bukan bermakna lemah. Menyerah adalah sejenis bentuk penerimaan yang menenangkan, mengakui bahawa ada perkara yang tidak mampu kita ubah dan tidak boleh kita campur tangan. Manusia yang kuat adalah manusia yang segera menerima ada perkara yang tidak mampu dia fikir, kawal dan ramal. Bukankah terus-terusan melawan apa yang bukan ditentukan untuk kita itu adalah sia-sia?

Ramai orang salah dalam menilai penyerahan. Mereka menyangka apabila mereka menyerah, itu bermakna mereka lemah. Saya? Ya, saya juga tergolong dalam golongan mereka yang menyangka bahawa menyerah itu lemah, sehinggalah sehinggalah saya terjumpa dengan seorang gadis yang sama patah hati seperti saya di majlis perkahwinan bekas kekasih kami. Bertemu dengan gadis tersebut bukan kebetulan, tetapi ketentuan, yang tersembunyi hikmah di sebaliknya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.