Wednesday, May 31, 2017

Tak semua cinta itu...

Tak semua cinta yang kita rasa layak untuk kita, kita perlu terima. Tak. Ada cinta yang layak untuk kita rasa sahaja, bukan diterima, dan perlu kita lepaskan kerana cinta itu menyakitkan kita.

Saya rasa tak semua orang patut dapat peluang kedua, lebih-lebih terhadap orang yang menyakitkan kita berkali-kali. Apa jika orang tu bawa matahari dalam hidup kita, beri pelangi pada kedukaan kita, atau membuat kita kembali senyum, maka kita perlu memaafkan dia setiap kali apabila dia berkali-kali melukakan kita? Mungkin tak. Kalau benar dia menghargai dan menyayangi kita, dia takkan buat kita terluka dan menangis (berkali-kali kerana dia!).

Bukan semua cinta layak untuk kita terima dan simpan. Tak. Saya rasa kita layak untuk dapat yang lebih baik berbanding dengan yang melukakan kita berkali-kali itu. Kita semua layak untuk cari yang terbaik.

Hidup ini luas untuk kita hanya tersekat pada satu pilihan, dan hidup ini panjang untuk kita hanya terhenti pada seseorang. Moga kita sedar tak semua yang kita rasa layak untuk kita terima tu, boleh diterima.

Monday, May 29, 2017

Kita Sesudah Semalam. (Bab 1 - Catatan Suhaid)

Hidup ini penuh dengan kebetulan yang tidak terduga. Seperti layang-layang yang tiba-tiba putus talinya lalu terlepas daripada genggaman kita saat kita seronok mengemudi layang-layang itu, atau kebetulan seperti talian internet yang tiba-tiba terpadam saat kita seronok menonton video dalam laman sesawang Youtube, juga kebetulan seperti bertemu dengan sesuatu yang kita tidak sangka, yang sedikit sebanyak bakal mengubah hidup kita. Dalam agama Islam, tiada perkara yang berlaku atas nama kebetulan. Kebetulan itu semuanya ialah ketentuan, sesuatu yang telah Allah aturkan buat kita.

Memang menakutkan jika kita mendapat tahu atau berhadapan dengan perkara yang selama ini kita sangka tak akan terjadi, yang selama ini kita sangka betul. Kita akan jadi takut untuk menerima perkara yang berbeza, kerana kita telah selesa dengan tanggapan dan rutin yang kita lakukan.

Ketentuan hadir dan akan mencabar keselesaan kita. Mengajak dan mengajar kita untuk meninggalkan apa yang selama ini kita yakin dan percaya, kepada sesuatu yang baru, yang lebih baik. Sebagai contoh, seperti layang-layang yang saya nyatakan pada awal monolog saya ini sebentar tadi. Selama ini kita selesa menggunakan benang biasa ketika bermain layang-layang. Lalu pada suatu hari, benang yang mengikat layang-layang itu terputus. Maka kita harus mengubah pemikiran dan rutin kita. Bahawa akan ada angin yang lebih kuat yang bakal mencabar kekuatan benang kita. Maka keesokannya kita pun menggunakan tali lain yang lebih kuat untuk digunakan pada layang-layang kita.

Lebih cepat kita menerima apa yang telah ditentukan, lebih cepat kita akan sedar tentang langkah kita yang sebenarnya, lebih cepat kita bakal nampak ke mana arah hala tuju diri kita. Tapi bukan semudah itu untuk menerima ketentuan. Minda kita akan banyak bertanya dan mempersoal, akan banyak menafikan dan melawan. Sehingga pada akhirnya kita menyerah dan menerima bahawa adalah lebih baik berhenti dari mencampuri urusan takdir, dan redha dengan kebetulan juga ketentuan yang berlaku.

Menyerah kepada ketentuan bukan bermakna lemah. Menyerah adalah sejenis bentuk penerimaan yang menenangkan, mengakui bahawa ada perkara yang tidak mampu kita ubah dan tidak boleh kita campur tangan. Manusia yang kuat adalah manusia yang segera menerima ada perkara yang tidak mampu dia fikir, kawal dan ramal. Bukankah terus-terusan melawan apa yang bukan ditentukan untuk kita itu adalah sia-sia?

Ramai orang salah dalam menilai penyerahan. Mereka menyangka apabila mereka menyerah, itu bermakna mereka lemah. Saya? Ya, saya juga tergolong dalam golongan mereka yang menyangka bahawa menyerah itu lemah, sehinggalah sehinggalah saya terjumpa dengan seorang gadis yang sama patah hati seperti saya di majlis perkahwinan bekas kekasih kami. Bertemu dengan gadis tersebut bukan kebetulan, tetapi ketentuan, yang tersembunyi hikmah di sebaliknya.

Saturday, May 27, 2017

Kita Sesudah Semalam. (Prolog)

Pelik atau tidak jika kita menghadiri majlis kenduri atau majlis keraian secara berseorangan? Mesti kita akan jadi kekok untuk melakukan semua perkara. Kadang-kadang nak berjalan pun tak betul, akibat gugup. Mana tidaknya, dalam ramai-ramai orang yang hadir, kita cuma mengenali satu orang saja, iaitu tuan rumah. Dan tuan rumah pula mestilah sibuk melayan semua tetamu, takkanlah mahu melayan kita seorang saja, kan? Urgh, teruknya perasaan macam ni. Kawan-kawan pula jenis pandai cakap saja. Susah senang bersamalah, apalah. Akhirnya bila kita minta tolong, masing-masing menghilangkan diri. Urgh! Suhaid cuma mampu menggeleng mengenangkan nasib dirinya.

* * * * *

Biar betul ni. Kenapa meja sebesar ni, yang boleh diduduki oleh lapan orang manusia, diduduki oleh aku seorang saja? Syuhada menoleh ke kiri, ke kanan, ke belakang. Ke depan? Tak payah toleh ke depan! Di depan sana pengantin lelaki sedang tersenyum lebar bersanding dengan pengantin perempuan yang tak kalah lebar senyumnya. Raja seharilah katakan. Apalah nasib badan. Sudahlah tak ada kawan yang sudi meneman, kemudian apabila ada di sini, duduk seorang diri di meja yang besar ni pula. Dia teringat Sakinah kawannya ketika belajar di Universiti Malaya dulu. Kata Sakinah, takdir memang kadang-kala kejam untuk manusia. Urgh!

* * * * *

Suhaid nampak sebuah meja yang cuma diduduki oleh seorang gadis. Huh? Meja punya besar dia duduk seorang saja? Tak apalah, bagus juga duduk di meja yang tak ramai orang. Tak adalah orang perasan riak wajahnya yang kecewa atau apa. Dia boleh tumpukan pada makan saja tanpa fikir orang sekeliling. Tapi dia bukannya berselera sangat pun untuk makan. Mana tidaknya, makan di majlis kenduri kahwin bekas kekasih!

* * * * *

Syuhada mencucuk-cucuk daging di atas pinggan makannya dengan garfu. Dia sudah lama kenyang namun nasi minyak dan lauk yang diambilnya masih lagi berbaki. Ah, tapi kalau nak diikutkan dia bukannya nak makan sangat pun. Tak tahu kenapa dia berani datang ke majlis ni hari ni. Memanglah dia dijemput. Tapi boleh saja kalau dia tak mahu datang, kan? Tengok, sekarang hatinya sendiri yang sakit. Syuhada menoleh ke sebelah kanan setelah mendengar ada suara berdehem. Baru dia perasan ada orang lain duduk semeja dengannya. Seorang lelaki, setepatnya. Dia melihat lelaki itu sedang memerhatikan dia mencucuk-cucuk daging di atas pinggan makannya. Apa, tak pernah tengok orang cucuk daging dengan garfu ke? Cucuk mata tu nanti baru tahu!