Sunday, July 1, 2018

Uncertainty Are Not Beautiful.

Dia dan gadis itu mesra. Rapat. Entah macam mana. Mungkin kerana mereka selalu ada pendapat yang sama. Mungkin kerana tulisan mereka selalu saling berkait. Lalu membawa mereka ke daerah yang mereka sendiri tak fahami.

Dia selalu ada untuk gadis itu. Teringat dia ketika gadis itu perlu berjaga malam untuk menyiapkan tugasan. Dia menemankan gadis itu di alam maya. Gadis itu mahu seseorang menemaninya lalu dia pun melupakan tidur yang sangat dia perlukan. Dia sentiasa dalam mode online dan gadis itu akan berasa lega melihat dia online. Sesekali bertukar sapa "awak dah tidur?" yang akan sentiasa dijawab dengan "belum" dan menyambung kepada "sikit lagi saya nak siap ni" lalu akan dibalas dengan "tak apa saya temankan awak siapkanlah kerja tu" yang sama. Dia ingat lagi ketika dia tertekan dengan latihan industri maka gadis itu akan sentiasa memberi kata-kata semangat. Ketika dia sakit gadis itu selalu berpesan supaya makan ubat. Pernah gadis itu tiba-tiba muncul di depannya walaupun mereka sebenarnya terpisah beberapa ratus kilometer jauhnya.

Semua kebaikan itu menunjukkan apa? Tiada apa-apa. Hanya ketidakpastian. Tapi dia tahu dalam hati masing-masing ada sesuatu yang tak terluahkan.

Suatu hari, ketika sebelum hari raya, gadis itu menghantar mesej yang sangat ringkas, "raya ni saya bertunang" yang hanya dijawab dengan "ohhh okay. Selamat bertunang awak" yang hambar. Tiada pula dipanjangkan isu itu dengan pertanyaan klise "dengan siapa? Bila? Kat mana? Macam mana? Kenapa?". Beberapa minggu itu mereka senyap. Dia selalu juga mengintai akaun media sosial gadis, iyalah mahu tengok juga siapa lelaki yang terlalu berani menghantar rombongan itu sambil menghina dirinya yang penakut dan hanya pandai bertarik tali dengan perasaan. Namun tiada apa-apa. Tidak jadikah? Dia tiada keberanian mahu bertanya.

Tiba-tiba beberapa minggu sesudah itu gadis menyapanya melalui pesanan ringkas. Tunas yang dia sangka sudah mati keracunan sepi kembali segar. Mereka kembali berbicara seperti tiada apa yang terjadi. Dan mereka kembali mesra seperti selalu, seperti ketika mereka tidak pasti apa yang ada dalam hati masing-masing. Dia tetap menunjukkan risau dan prihatin setiap kali gadis ada masalah dan gadis juga selalu bimbang dan selalu memberi perhatian jika dia dilanda sesuatu yang tidak menyenangkan.

Dan hal ini membawa kepada apa? Tiada apa-apa. Sekali lagi, hanya ketidakpastian.

Hinggalah pada suatu hari. Suatu hari yang tidak dapat dia lupakan. Gadis mahu berjumpa untuk menyelesaikan apa yang selama ini tidak selesai. Gadis memulakan tanya "awak suka saya ke selama ni?" dan dijawab dengan yakin oleh dia "ya." Tak tahu dia apa yang menyedihkan sangat dengan jawapan "ya" itu hingga gadis menangis. Pertama kali dia melihat gadis menangis sebegitu. Gadis meminta maaf dengan berkata yang "maaf saya tak tahu. Sungguh. Minta maaf sebab saya noob bab-bab ni. Saya tak tahu awak suka kat saya" dan hanya dijawab dengan keluhan oleh dia. Belum sempat dia bertanya adakah gadis juga menyukainya gadis terlebih dahulu berkata "awak nak tahu tak, masa saya nak bertunang tu, masa bakal tunang saya dah sampai rumah, sampailah sesi tunang tu selesai, dalam fikiran saya cuma ada awak. Bukan tunang saya walau dia ada depan mata. Saya hanya fikir tentang awak." Maka tahulah dia bahawa gadis juga ada perasaan yang sama kepadanya selama ni. Tapi untuk apa? Kenapa sekarang? Gadis menghulurkan kad jemputan. Oh gadis bakal bernikah. Dan gadis menjemput dia. Dia yang telah hilang kata hanya mampu memberi reaksi dengan senyuman.

Sesudah gadis bernikah, dia dan gadis tidak lagi bertegur. Gadis telah membuang dia dari senarai rakan di media sosial. Juga pada aplikasi mesej pada telefon pintar. Dia tak rasa apa-apa. Cuma sesal. Kerana segalanya telah terlambat, dan tiada apa yang dapat diperbetulkan.

Ketidakpastian itu tidak indah. Maka jika ada sesuatu yang hendak diselesaikan, jujur dan berterus teranglah dengan perasaan sendiri. Bagaimana jika berterus-terang akan membuat kita derita? Derita kerana tahu jawapan di balik sesuatu persoalan lebih baik daripada derita kerana tidak sempat menyatakan apa-apa.

Komunikasi. Walau betapa sukarnya sesuatu itu untuk diluahkan, kita tetap perlu menyelesaikannya dengan komunikasi. Kerana ketidakpastian itu tidak indah.

Tuesday, June 12, 2018

As We Grow Older.

Ketika kita masih kanak-kanak, kita sentiasa ingin menjadi orang dewasa. Ketika kita beralih kepada remaja, kita mengaku diri kita telah dewasa. Kita rasa, menjadi dewasa membuatkan kita lebih hebat, atau sekurang-kurangnya nampak hebat. Tiada siapa mahu larang kita melakukan apa yang kita ingin lakukan. Tiada siapa mahu campur tangan dalam urusan kita.

Menjadi dewasa bukan hanya berkaitan dengan peralihan umur. Menjadi dewasa menyedarkan kita tentang banyak perkara. Menjadi dewasa memaksa kita untuk mencari pelbagai jawapan di sebalik bermacam-macam persoalan. Menjadi dewasa bermakna kita perlu membuat pilihan. Menjadi dewasa bererti kita sudah tahu menilai yang mana baik dan yang mana yang buruk, mengenal pasti mana yang penting dan mana yang tidak. Menjadi dewasa menandakan kita perlu bersendirian, perlu berdiri di atas kaki sendiri.

Menjadi dewasa juga menuntut kita untuk lebih banyak melakukan penafian. Menjadi dewasa, menjadikan kita lebih pandai menyembunyikan emosi dan perasaan. Kerana itu kita banyak melakukan penafian. Kita menafikan yang kita sebenarnya letih, kita menafikan yang kita sebenarnya lemah, kita menafikan yang sebenarnya kita takut, kita menafikan yang sebenarnya kita terluka. Kerana menjadi dewasa itu membuatkan kita harus dilihat sebagai satu sosok yang ampuh. Seringkali juga kita menafikan yang sebenarnya kita sedang melakukan penafian. Kita hanya mahu lihat perkara yang kita hendak lihat. Kita hanya mahu percaya perkara yang kita hendak percaya. Sehinggalah lama-kelamaan, penafian yang kita lakukan membuatkan kita berasa selesa, dan kita tak nampak lagi kebenaran yang berada di hadapan mata.

Ketika zaman persekolahan, kita selalu hendak berteman. Ke kantin berteman, ke tandas berteman, ke bilik guru berteman, ke bandar berteman kerana ketika itu kita rasa ramai orang yang sehaluan dengan kita. Menginjak dewasa, kita lebih suka bersendirian dan melakukan semua perkara seorang diri. Kerana kita sedar, tiada siapa yang suka dikawal, tiada siapa yang suka hala tuju dirinya ditentukan oleh orang lain. Kita lebih suka menyimpan sendiri-sendiri hal-hal berkaitan dengan diri kita, tidak kira hal umum atau peribadi. Kerana setelah menjadi dewasa, kita sedar, bahawa segala perkara yang kita lakukan dan rasa, adalah atas tanggungjawab kita sendiri, bukan orang lain.

Dan mungkin kerana itu juga, kita rasa hari raya bukan untuk kita.